• Perkhidmatan
  • Perkhidmatan Sokongan Klinikal
  • Unit Kerja Sosial Perubatan

Unit Kerja Sosial Perubatan

TEL : 05-2085000 samb : 5352

PENGENALAN

Unit Kebajikan Perubatan ditubuhkan pada tahun 1990 an di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh seterusnya dikenali sebagai Unit Kerja Sosial Perubatan.   Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan (Medical Social Work) merupakan salah satu daripada perkhidmatan allied health professional yang terlibat secara langsung dalam proses membantu pesakit.  Ia berperanan khusus dalam memberi khidmat sokongan psikososial melalui pendekatan kaunseling, kerjasama berpasukan serta mewujudkan rangkaian perkhidmatan dalam komuniti untuk membantu pesakit. Unit Kerja Sosial Perubatan memberikan perkhidmatan sokongan kepada semua unit klinikal yang beroperasi berasaskan kepada keperluan psikososial pesakit.

Bidang kerja sosial perubatan wujud sebagai satu perkhidmatan yang menguruskan fungsi psikososial individu, keluarga dan komuniti bagi membantu pesakit mencapai tahap kesihatan yang lebih baik.  Praktis kerja sosial perubatan berasaskan kepada pengetahuan dalam bidang kerja sosial yang merangkumi aspek psikologi, antropologi & sosiologi, perundangan sosial dan aspek kesihatan.  Praktis kerja sosial perubatan merupakan aplikasi kerja sosial untuk menangani ketidakfungsian fizikal, sosial dan psikologi melalui kaedah kerja kes, kerja kumpulan dan kerja komuniti.  Perkhidmatan diberikan dalam bentuk bantuan praktik dan terapi sokongan.

Model biopsikosial merupakan satu pendekatan bersepadu ke atas tingkah laku manusia dan penyakit berbanding model bioperubatan yang hanya berasaskan sains tulen.  Kajian menunjukkan faktor psikososial merupakan asas dan penyebab kepada semua penyakit dan masalah fizikal (Dr. Imtiaz Ahmad Dogar.A.P.M.C. Vol.1. No.1. January 2007).

Dimensi penilaian biopsikosial dalam kerja perubatan melibatkan aspek biological (keperluan asas, kesihatan yang sempurna, persekitaran fizikal, kemampuan dan ciri-ciri fizikal), psikologikal (sejarah / pengalaman individu, ciri-ciri personaliti, tahap kecerdasan dan kemampuan mental, identity dan konsep kendiri), sosial (sosiobudaya, kekeluargaan, rakan, komuniti, etnik, persekitaran sosial, politik, ekonomi dan spiritual) (Clay Graybeal.2000. Families in Society Journal Vol.82. No.3).

Secara amnya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menangani pelbagai isu biopsikososial yang melibatkan pedekatan multidisiplin dalam mencapai objektif total patient care.  Perkhidmatan yang disediakan di hospital, institusi dan klinik kesihatan adalah untuk memberi bantuan psikososial kepada pesakit semasa proses rawatan, pemulihan dan pencegahan.  Perkhidmatan ini membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi lebih produktif, berdikari dan kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.

OBJEKTIF

  1. Memberi perkhidmatan sosial kepada pesakit semasa proses pencegahan, rawatan dan pemulihan.
  2. Membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi produktif, berdikari dan dapat kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka.
  3. Meningkatkan keyakinan diri ke arah memperkasakan pesakit melalui khidmat terapi sokongan.
  4. Membantu mewujudkan kumpulan-kumpulan sokongan yang dapat berfungsi sebagai satu ‘mutual aid system’ untuk klien-klien yang mempunyai masalah-masalah atau pengalaman hidup yang sama.
  5. Mengenalpasti sumber-sumber yang terdapat di dalam dan di luar komuniti yang boleh memanfaatkan pemulihan klien.

VISI

Unit Kerja Sosial Perubatan akan menjadi pusat rawatan psikososial yang mampu memantapkan jiwa pesakit agar lebih berkeyakinan terhadap kewibawaan dan keupayaan diri supaya dapat kembali berfungsi dalam masyarakat.

MISI

Untuk meningkatkan kesejahteraaan hidup pesakit dan membantu mereka memenuhi keperluan sosial demi mewujudkan suasana yang kondusif.

PIAGAM PELANGGAN

Piagam pelanggan yang ditetapkan membantu pelaksanaan proses permohonan yang dirujuk ke unit ini dengan sewajarnya.  Berdasarkan piagam pelanggan yang dinyatakan, ia menetapkan tempoh masa yang diperuntukkan untuk setiap rujukan sama ada pesakit dalam ataupun pesakit luar.

  • Setiap pelanggan akan mendapat perkhidmatan yang sewajarnya daripada jabatan ini tanpa mengira kaum, agama, umur, jantina dan taraf sosio-ekonomi;
  • Segala maklumat pelanggan yang diperolehi akan dirahsiakan dan hanya boleh diberitahu kepada pihak tertentu mengikut keperluan;
  • Segala pengurusan permohonan bantuan praktik dan terapi sokongan adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan agensi yang berkaitan, sumber yang ada dan kelayakan pemohon;
  • Setiap kes pesakit dalam yang dirujuk akan diambil tindakan awal dalam tempoh 48 jam hari bekerja;
  • Setiap kes pesakit luar atau yang dirujuk oleh agensi yang berkaitan akan diambil tindakan dalam masa 14 hari bekerja.

SKOP PERKHIDMATAN

Perkhidmatan kerja sosial perubatan  disediakan untuk pesakit dalam dan pesakit luar di hospital, institusi dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Perkhidmatan ini merangkumi :

  • Pengurusan Bantuan Praktik
    1. Bantuan Kewangan (Peralatan/ Perubatan/ Rawatan/ Am)
    2. Penempatan Institusi
    3. Mengesan Waris
  • Pengurusan Bantuan Terapi Sokongan
    1. Khidmat Perundingan
    2. Sokongan Emosi
    3. Intervensi Krisis

WAKTU OPERASI

HARI MASA
Isnin - Khamis 8.00 pagi - 5.00 petang
Rehat : 1.00 petang - 2.00 petang
Jumaat 8.00 pagi - 5.00 petang
Rehat : 12.15 tengahari - 2.45 petang
Sabtu / Ahad / Cuti Umum TUTUP

LOKASI

Secara fizikalnya, Unit Kerja Sosial Perubatan terletak di aras bawah, Bangunan Utama, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.  Unit  ini bersebelahan dengan Jabatan Patologi, Farmasi TDM, Farmasi Klinikal, Makmal Mikrobiologi dan Bahagian Pentabiran, Tabung Darah.